Mukhayyam Perdana Unit-unit beruniform adalah program/aktiviti tahunan bagi sekolah-sekolah SRAI Jabatan Agama Islam Selangor. Program yang berterusan sejak tahun 2009 dilaksanakan untuk menjana peserta memantapkan aktiviti perkhemahan dan mengaplikasikan kemahiran serta pengetahuan dalam menjalankan aktiviti perkhemahan. Ia juga memberi peluang kepada setiap unit untuk terus meminati dan bergerak secara aktif dalam unit-unit beruniform dan sekolah masing-masing.
Antara objektif program ini dilaksanakan ialah :
1. Menghayati, melindungi dan menghargai alam ciptaan Allah melalui aktiviti perkhemahan.
2. Menanam sikap kepimpinan, toleransi dan sentiasa bermuafakat dalam kumpulan.
3. Mampu bertindak pantas dalam situasi kecemasan dengan menggunakan sumber yang ada di
persekitaran.
4. Mengamalkan teknik-teknik pemilihan tapak perkhemahan, pemasangan dan penjagaan khemah,
penyediaan bekalan makanan serta aspek keselamatan diri.
5. Meningkatkan jati diri melalui aktiviti penghayatan solat berjemaah dan penguasaan bacaan
Al-Quran.
Peserta dan guru pengiring SRAI Sg Manggis
Pada 27-29 Oktober yang lalu, (Selasa-Khamis), sekolah saya iaitu Sekolah Rendah Agama Integrasi Sungai Manggis telah mengikuti program ini yang bertempat di Pusat Ko Bagan Lalang, Sepang. Saya bersama rakan, selaku guru pengiring seramai 5 orang beserta murid-murid tahun 6 seramai 35 orang yang terdiri daripada ahli unit beruniform Puteri Islam, PBSM, TKRS dan Pengakap telah sampai ke destinasi seawal jam 9.00 pagi. Memandangkan jarak sekolah saya dengan Bagan Lalang hanya mengambil masa 1 jam sahaja, maka sekolah saya merupakan sekolah pertama yang tiba di pusat tersebut.
Setelah selesai mendaftar dan menunggu kesemua 10 buah SRAI yang lain hadir, peserta dikehendaki mendirikan khemah masing-masing di tapak perkhemahan yang telah ditetapkan. Pada jam 12.30 tengahari, kesemua peserta seramai 385 orang, berehat, makan tengahari dan solat zohor berjemaah di dewan terbuka yang sedia ada di situ. Seterusnya pada jam 2.00 petang, semua guru pengiring dan peserta diberi taklimat oleh Ketua Komandor -En Ahmad Badri B Abdul Aziz dan Pembantunya Pn.Nurarima. Taklimat adalah berkenaan keselamatan dan pembahagian kumpulan.
Semua peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang digelar "Sekawan". Contohnya "Sekawan Putih". Terdapat 10 buah sekawan yang diiringi oleh 3 orang guru dari 3 buah sekolah.
Memasang khemah
Setelah selesai solat asar berjemaah, 6 kumpulan sekawan iaitu hitam, putih, merah, biru, kuning dan oren dikehendaki bergerak ke pantai untuk melakukan aktiviti-aktiviti mengikut stesyen yang telah ditetapkan. Saya bersama Norhasyimah dari SRAI 19 dan Ustaz Hadzrik dari SRAI Taman Keramat telah mengiringi kumpulan kami iaitu "Sekawan Putih" ke pantai untuk mengikuti aktiviti dan belajar mengenai makanan rimba, kraftangan, pertolongan cemas dan obstacle atau halangan.
Melalui pemerhatian, semua peserta amat seronok melakukan kesemua aktiviti tersebut. Bagi murid yang tinggal di bandar, ini merupakan pengalaman baru dan sangat berharga bagi mereka.
Makanan rimba : roti lilit dan kentang bakar
Obstacle
Pada jam 6.30 petang, semua peserta pulang ke khemah masing-masing untuk persiapan diri,makan malam dan solat maghrib berjemaah. Pada malam tersebut, aktiviti kembara malam telah dijalankan, di mana semua peserta, guru pengiring dan skuad Kelana perlu mengembara sejauh 15km. Tepat jam 11.30 malam semua peserta selamat sampai ke khemah masing-masing, minum malam dan tidur pada jam 12.00 malam.
Aktiviti pada hari kedua diteruskan dengan aktiviti seperti gajet dan ikatan, radio amatur, permainan kim, dan tunjuk arah. Pada petang itu, pertandingan gajet,ikatan, pertolongan cemas, dan kraftangan diadakan diantara kumpulan sekawan. Apa yang menggembirakan hati saya dan rakan, kumpulan sekawan putih telah mendapat tempat ke-2 bagi acara ikatan. Syabas & tahniah diucapkan!. Pada malamnya diadakan pula pertandingan apresisai seni diantara sekolah-sekolah. Sekolah saya telah mendapat tempat ke-3 dalam pertandingan tersebut. Sekalung tahniah diucapkan kepada team guru pembimbing bagi acara ini, iaitu Cikgu Norhafizah Mohd Noor, Cikgu Nurafifah Aini, Cikgu Saadatul Firdaus dan Cikgu Siti Ramziah di atas usaha mereka melatih semua peserta dengan jayanya.
Sekawan Putih
Contoh gajet & ikatan
Pada hari ketiga, diadakan pertandingan kawad kaki sebaris diantara sekolah-sekolah. Sekolah saya tidak bernasib baik bagi acara ini. Jangan kecewa, jadikan ianya sebagai pengalaman yang amat bermanfaat untuk masa akan datang. Pada jam 2.00 petang majlis penutup bermula. Setelah selesai penyampaian hadiah dan cenderahati, sesi fotogarafi diadakan untuk mengabadikan kenangan selama 3 hari berada di sini.
Pertandingan Kawad Kaki Sebaris
Wajah-wajah ceria sebelum pulang
( GPK koko Pn.Zulaili Afidah Amat Taib, Cikgu Sazana Jumhuri & saya....cikgu Rohanidah Mohd Rohani
( GPK koko Pn.Zulaili Afidah Amat Taib, Cikgu Sazana Jumhuri & saya....cikgu Rohanidah Mohd Rohani
Melalui program ini, dapat diperhatikan dengan jelas.....
1. Pemupukan semangat kerjasama dan berpasukan.
2. Penerapan nilai-nilai murni dan kemanusiaan.
3. Pemupukan ketahanan mental dan pengawasan emosi.
4. Pengukuhan disiplin kendiri.
5. Pengukuhan disiplin berpasukan.
6. Pengukuhan keimanan dan ketakwaan.
7. Pembinaan daya saing dan daya juang yang tinggi.
8. Penyemaian ciri-ciri kepimpinan berwibawa.
9. Menjana keriangan dan keseronokan bersama-sama secara integratif dan harmonis.
10. Memupuk cita-cita kerjaya melalui rekreasi dan reka cipta.
Program ini sebenarnya dapat memberi peluang kepada murid untuk menyertai, membina dan memupuk integrasi di kalangan murid dalam usaha membentuk generasi al-quran yang berkemahiran, membina dan mengembangkan jaringan hubungan dan kesatuan sesama muslim demi mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang harmonis dan bersatu padu.
Bestnya dapat joint program mukhayyam ni.....
Saksikanlah....
SEKIAN.......DIHARAP PERKONGSIAN INI DAPAT MEMBERI MANFAAT KEPADA SEMUA.


















No comments:
Post a Comment